20 April 2013

Jelas & Alas

Malam tadi sambil melayan mata sebelum terlelap, otak berputar memainkan semula apa yang berlaku sepanjang hari. Bergolek-golek, berguling-guling...

Tiba-tiba encik otak bertanya soalan cepumas kepada cik minda, "Apa bezanya antara memberi penjelasan dan memberi alasan? Kenapa kita lebih mengharapkan orang menberikan penjelasan kepada kita dan bukannya alasan? Bukankah kedua-duanya bermaksud memberitahu sebab atau mempertahankan tindakan kita?"

Cik minda tersentak, "Oh hoi! Tricky questions!"

Kata seorang puan koordinator, memberi penjelasan itu lebih sopan daripada memberi alasan. Hmm...
Nampaknya perlu cari maklumat yang lebih lanjut. Maka, bila sahaja kita ada akses internet, pergunakan ia!

Pertamanya: cari makna perkataan: Pusat Rujukan Persuratan Melayu (http://prpm.dbp.gov.my/)
  • Penjelasan:  1. keterangan (yg lebih jelas), huraian; 2. penyelesaian.
  • Alasan: 1. asas, dasar; 2. sebab; 3. yang dijadikan sebagai alas/lapik.
Kedua; Tanya Pokcik Google.
  • Memberi penjelasan bermakna memberi keterangan yang lengkap dan difahami oleh khalayak. 
  • Memberi alasan bermakna ???
Ketiga; Tanya Pokcik Google in English  "difference between explain and excuse".
  • Hasil carian banyak membawa kepada perbincangan mengenai nilai tanggungjawab semasa memberitahu sebab/tindakan.
  • Juga membincangkan "difference between a reason and an excuse". Jadi dalam konteks ini ia melibatkan perbincangan di antara sebab vs alasan.
  • Dai Qian memberikan penjelasan yang ringkas dan menarik berkaitan sebab vs alasan ini dalam blog beliau.   

Tak tahu menari dikatakan lantai jungkang-jungkit.
A bad workman always blames his tools.

It is easier to find an excuse than to find a reason. ~ Doug Brown
An excuse is a skin of a reason stuffed with a lie. ~ Billy Sunday

Jika hanya merujuk kepada kata akar di atas, saya simpulkan seperti ini: memberi penjelasan bermaksud menjelaskan yang kabur, menerangkan yang kelam, menghuraikan yang simpul. Memberi alasan pula bermaksud menutup yang kabur, memadam yang kelam dan menyorokkan yang simpul...setuju? Ada sesiapa boleh berkongsi pendapat yang lebih sesuai? Please..anyone??


28 March 2013

Seroja on Seroja

Kalau tuan mudik ke hulu,
Petikkan saya bunga seroja;
Kalau tuan mati dahulu,
Tunggu saya di pintu syurga.

Waduh-waduh...Setelah 32 tahun, baru saya tahu bunga seroja ialah water lily. Malahan nama lainnya ialah bunga telepok atau bunga padma (rujuk Kamus Dewan). (Perhatian: bunga padma dan bunga pakma (rafflesia)  pula adalah dua spesies bunga yang berbeza. Jangan keliru seperti yang berlaku pada saya sebentar tadi). Masih kurang lagi ilmu tumbuh-tumbuhan saya ini. Selama ini, asal tengok tumbuhan yang berdaun bulat dan berbunga kembang di permukaan air namanya teratai, tidak peduli pun bentuk dan warnanya. Bila dah tahu ni barulah diselidik-selidik dalam internet.



Rupanya teratai dan seroja dua spesies tumbuhan berbeza. Teratai (lotus) hanya terdiri dari dua spesies sahaja manakala seroja (waterlily) hampir 70 spesies. Bila sudah tahu, barulah perasan bahawa teratai yang pernah ditemui setakat ini hanya satu jenis sahaja, iaitu teratai warna merah jambu yang banyak tumbuh di dalam lombong-lombong tinggal di sekitar daerah Kinta (Batu Gajah, Tanjung Tualang, Tronoh, Kampar).  Salah satu ciri yang membezakan di antara dua bunga yang sama tak serupa ini ialah bunga teratai timbul/menjulang keluar dari dalam air manakala seroja pula bunganya terapung di permukaan air. Oleh itu, ada bunga teratai yang berkembang  lebih tinggi dari permukaan air dan kadang kala daunnya juga tumbuh di atas permukaan air kolam/lombong. Jika diperhatikan, bentuk bunga teratai yang mekar adalah umpama sebuah mahkota manakala kelopak seroja yang kembang  pula kelihatan seperti sebuah bintang.


Seroja adalah sejenis bunga yang terdiri dari pelbagai warna. Antara warna bunga seroja yang pernah saya temui ialah  berwarna putih, biru, merah jambu, kuning. Jika teratai dianggap bunga suci bagi penganut Buddha, seroja biru pula dianggap sebagai bunga suci pada zaman Mesir purba. Ini menyebabkan bunga seroja biru banyak ditanam di sekitar kuil-kuil Mesir purba. Malahan ditemui juga ukiran hiroglif dengan motif bunga seroja biru pada tiang-tiang kuil mereka. Kudup bunga seroja akan berputik di dalam air dan pabila kembang ia akan timbul dan terapung di permukaan air.


Satu penemuan yang menarik berkaitan teratai dan seroja ini, ia hanya tumbuh di tempat yang tanahnya subur dan airnya bersih dari sebarang pencemaran. Jika diterjemahkan dalam bahasa sains bermaksud kadar keterlarutan oksigen dalam air adalah tinggi. Maka tumbuhan air ini boleh dijadikan penentu/pengukur tahap pencemaran di sesebuah tasik/kolam.

Salah satu spesies seroja yang terkenal di dunia ialah Victoria Amazonica, seroja gergasi yang hidup subur di hutan hujan Amazon. Daunnya yang lebar boleh membesar sehingga 3 meter lebar dengan batangnya yang tenggelam di dalam air boleh tumbuh sepanjang 7-8 meter.


Allah memberikan kesempatan untuk kita menyaksikan habitat dan proses perkembangan tumbuhan menakjubkan ini menerusi dokumentari yang dirakam oleh David Attenborough seperti yang dipaparkan dalam video di bawah.


Keindahan bunga seroja sering diterjemahkan dalam bentuk kesenian samada puisi, seni lukisan, seni ukiran, lagu, seni arca dan sebagainya. Malah motif seroja turut ditemui diterapkan dalam pelbagai hiasan seharian seperti ukiran awan larat di sekitar rumah dan perabot kayu, ukiran kristal dan hiasan pinggan mangkuk.

Lagu Seroja yang didendangkan oleh S. Effendi pada tahun 70an antara apresiasi estetik bunga seroja yang popular. Lagu ini banyak didendangkan semula, antaranya oleh kumpulan nasyid Al-Jawaher, Jamal Abdillah, Mawi dan juga dibawakan oleh watak Mahar dalam filem hebat, Laskar Pelangi.

~Seroja~

Mari menyusun seroja
Bunga seroja ah... ah...
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja ah... ah...

Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja ah... ah...
Puja lah ia oh saja
Sekadar saja

Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Janganlah engkau percaya dengan asmara
Janganlah engkau percaya dengan asmara

Sekarang bukan bermenung zaman bermenung
Sekarang bukan bermenung zaman bermenung
Mari bersama oh adik memetik bunga
Mari bersama oh adik memetik bunga

Mari menyusun seroja
Bunga seroja ah... ah...
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja ah... ah...

Sebelum mengakhiri entry ini, saya ingin berkongsi sebuah artikel yang membuka satu sudut lain pandangan saya tentang teratai. Namun atas kekurangan ilmu tentang perkara ini, tidak wajar rasanya untuk saya ulas. Sila klik di sini untuk membacanya.

26 February 2013

Wabillahi Tawfiq Wal Hidayah

Di antara nikmat yang paling besar yang dikurniakan kepada kita sebagai seorang umat Islam ialah nikmat taufik. Namun adakah kita faham apakah yang dimaksudkan dengan taufik?
Maksud taufik yang dinyatakan dalam kamus Dewan ialah panduan dan pertolongan dari Allah.
Manakala perkataan hidayah yang selalu disebut bersama taufik pula ialah petunjuk dan bimbingan dari Allah.
Dua perkataan yang hampir sama namun sebenarnya berbeza

Sebenarnya hidayah adalah petunjuk umum dan taufik itu petunjuk yg lebih khusus. Misalnya Abu Talib mendapat hidayah berupa pelajaran dan ajaran yang disampaikan oleh Nabi saw, tapi dia tidak diberi taufik oleh Allah.

Inilah maksud firman Allah, "Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya.." (al-Qasyasy: 56)

Maksudnya kita boleh menyampaikan hidayah tapi taufiq itu hanya dari Allah. Hidayah ini bermaksud peluang, pelajaran, dakwah, contoh teladan, manakala taufiq pula kekuatan hati untuk beriman yang ditentukan oleh Allah SWT.

Mengenai anda, anda sudahpun mendapat hidayah dan taufiq (sudah beriman (muslim) dan sudah istiqamah di atas jalan Islam). (Syaikh Jamil Zainu, Kaifa Nafham alQur'an)
Oleh itu jika anda melakukan sesuatu perkara atas niat kerana Allah dan dimulai dengan Bismillah, Allah telah menetapkan untuk anda kejayaan dalam setiap pekerjaan yang anda lakukan dan merasai bahawa Allah begitu dekat dengan anda. Oleh itu yakinilah semua pekerjaan menjadi mudah. Hal ini menjadikan anda sentiasa memastikan hubungan yang baik dengan Allah dalam setiap urusan hidup anda dan sentiasa memohon taufik dari Allah SWT sepertimana doa Nabi Syuib a.s. kepada kaumnya:

“....dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah Aku bertawakkal dan Hanya kepada-Nya-lah Aku kembali”. (Hud: 88)

25 February 2013

Impulsif

Sikap impulsif adalah perilaku manusia yang tiba-tiba berubah, tiba-tiba di luar rencana, atau sebuah sikap yang tidak didukung alasan yang kuat. Dan pada umumnya sikapnya tergolong tidak munasabah.

Impulsif adalah dorongan yang didasarkan keinginan untuk pemuasan atau keinginan secara sedar mahupun tidak sedar.

Bertindak impulsif adalah suatu tindakan yang didasarkan dengan adanya dorongan untuk mengekspresikan keinginan. Bertindak impulsif juga bererti bertindak tanpa berfikir/memikirkan tindakan itu terlebih dahulu.




Sikap impulsif adalah suatu bentuk heroik. Dan heroik adalah sebahagian dari dramatisasi. Apa yang berlebihan selalu tidak baik. ~Niken Supraba~